Hari Raya Aidil Adha bakal tiba tak lama lagi. Mengikut pengumuman oleh pemegang mohor besar Raja-Raja tempoh hari, maka dengan ini diisytiharkan Raya Haji jatuh pada hari Ahad, 6 November 2011. Alhamdulillah...sekali lagi diberi peluang kita bernafas untuk menyambut Raya Haji yang bakal tiba 3 hari dari sekarang..insyaAllah kalau dipanjangkan umur dalam tempoh itu.
Macamner persiapan Raya Haji kawan2 tahun ni? Meriah tak? Apa-apa pun, bersederhana dalam segalanya tu lebih elok dari berlebih-lebihan.
Apabila ketibaan Raya Haji semakin hampir, hati ini menjadi sayu dan hiba. Mengenangkan sesuatu yang sudah pergi selama-lamanya dari kehidupan ini. Kerana, pada sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun lepas merupakan kali terakhir aku bertemu dengan arwah ayahku, yang telah pergi buat selama-lamanya pada 8 Disember 2010, bersamaan 2 Muharram 1432H.
Tidak siapa menduga takdir yang telah tertulis untuk keluarga kami, memandangkan kepergian ayah secara mengejut. Raya Haji itu, adalah yang terakhir aku bersalaman dan memohon keampunan darinya, siapa mampu menduga itulah keampunan terakhir yang aku pinta darinya sendiri.
Kemudian, aku harus meninggalkan kampung halaman untuk pulang semula bekerja beberapa hari selepas itu. Itu juga merupakan kali terakhir aku bersalam dengan arwah ayah untuk meminta izin pulang ke daerah tempat pekerjaan aku. Aku masih ingat lagi detik itu. Ayah tidak seperti selalu, kerana ayah tidak mencium dahiku seperti kebiasaannya. Tapi, aku tidak berlengah lagi untuk meneruskan perjalanan yang jauh pulang ke tempat aku bekerja. Melalui cermin pandang belakang kereta ku, ku lihat kelibat ayah dan ibu mengiringi aku dengan sorotan mata yang sayu. Puas aku menahan deraian airmata dari tumpah, tapi tewas juga. Aku tidak tahu kenapa begitu sebak untuk meninggalkan mereka. Jikalau aku dapat membaca tadkir, akan aku kekal tidak berganjak ke mana-mana dari rumah untuk menjaga arwah ayah di saat akhir kehidupannya.
Selang 3 minggu selepas itu, seawal selepas sehari menyambut Awal Muharram seorang diri di rumah sewa. Aku mendapat panggilan yang tidak disangka-sangka dari ibu saudara ku mengatakan ayah ditahan di ICU kerana kesukaran untuk bernafas. Aku jadi buntu. Tapi, ibu berpesan yang ayah dalam keadaan stabil. Ya, waktu itu aku diminta pulang tapi tidak dengan kadar segera. Ibu berpesan yang ayah okey-okey sahaja. Aku menarik nafas lega kerana tiada apa-apa yang mungkin berlaku ke atas ayahku, kerana ayah tidak pernah dimasukkan ke ICU selama ini. Walaupun ayah mempunyai beberapa sakit seperti darah tinggi, tapi ia masih belum mencapai tahap kronik sehingga diminta tinggal di hospital.
Selepas waktu bekerja, aku pun bergegas pulang ke kampung halaman, yang mengambil masa 4 jam. Kereta yang aku pandu sudah tidak mengenal erti "SpeedTrap". Keinginan aku hanya untuk tiba di hospital itu secepat mungkin. Sambil itu, aku tidak putus2 ber'SMS' dengan sepupuku yang sudah berada di sana. Katanya, "Abang kau pesan jangan bawak laju2. Ayah kau stabil. Mak kau pun ok ni"
Mendapat SMS itu membuat hati menjadi tenang. Ya, ayah memang stabil waktu tu, doktor pun melaporkan perkara yang sama kepada seluruh ahli keluarga kami.
10.45 malam, 8 Disember 2010. Sedetik aku tiba di perkarangan hospital, aku menjadi kaget melihat ibuku meraung tidak tentu hala duduk di atas "wheelchair". Ya, ibu ku sudah 2,3 kali pengsan sepanjang ayah dimasukkan ke hospital seawal pagi tadi.
"Doktor baru call, panggil korang ke atas sebab ayah dah kritikal." Bisikan kata-kata dari bapa saudaraku membuat aku lemah di bahagian lutut, hampir-hampir aku jatuh terduduk tapi sempat dipapah oleh bapa saudaraku sendiri.
Setiba di wad ICU itu, ku lihat ayah sudah tidak bermaya, berkerumun jururawat dan doktor membantu merawat ayah. Abangku, dan ibuku tidak putus-putus membisikkan kalimah syahadah di telinga ayah. Ku lihat airmata ayah mengalir tapi ayah masih tidak sedarkan diri. Kaku!
11.25 malam, 8 Disember 2010. Aku berdiri jauh dari katil ayah. Aku lihat doktor berkata sesuatu kepada abang dan ibuku di sana. Aku tidak pasti bait kata-katanya, tapi jelas ku lihat gelengan kepala doktor itu. Aku jatuh terduduk. Dunia aku seperti sudah tidak berpaksi lagi dengan graviti bumi.
Aku seperti tidak mahu mengalah, kenapa terlalu awal ayah pergi sedangkan itu baru hari pertama ayah dimasukkan ke hospital. Kenapa doktor di hospital ini tidak mampu merawat ayah, sekurang-kurangnya ayah mampu bertahan hidup 2,3 hari lagi untuk bertemu dengan aku buat kali terakhir. Sekurang-kurangnya aku mampu menjaga ayah di hari-hari terakhir dalam hidupnya. DOKTOR NI SEMUA TAK BUAT KERJA KEEE!!!!!
12.30 pagi, 9 Disember 2010. Sejam aku jadi manusia yang tidak menentu, berdialog sendirian di hujung bangku hospital di aras itu. Terima kasih kepada sepupuku, kerana memegang bahuku dan berkata, "Sudah sampai ajalnya, sayang. Doktor terhebat dalam dunia ni pun tidak akan mampu memperlahankan waktu ajal seseorang itu."
Tumpah juga airmata yang ku cuba tahan sedari tadi...
Raya Aidil Adha pada tahun ini, akan mengingatkan aku pada arwah ayah yang tidak pernah putus kasih dan sayang kepada anak-anaknya walau senakal, sejahat mana pun seorang anak itu.
"Terima kasih abah, kerana bersusah payah bergegas dari pejabat untuk menjemput saya pulang dari sekolah sepanjang 2 tahun dan tidak pernah mengeluh." Kalaulah abah mampu mendengar ayat yang tidak terucap dari aku ini di sepanjang hayatnya....
note : semoga dipermudahkan urusan perjalanan menaiki bas pada hari esok. amin =)
Dia lebih mengetahui semua rahsia Dia...alfatihah..be strong sayang ;(
BalasPadam