Cerpen


22 November, 2011

1001 Duka, 1001 Pertanyaan, 1001 Bahagia & 1001 Persoalan....

12.31 PM
Aku melihat jam di tangan. Lapar betul hari ni. Bosan sungguh memulakan kerja di hari Isnin. Monday Madness! Duduk di kaunter perpustakaan berseorangan sambil menunggu kehadiran pengunjung yang keluar masuk singgah ke kaunter hari ni.

12.35 PM
Terlihat kelibat seorang makcik yang  rasanya seusia emak aku. Mungkin 50 tahun ke atas. Tak terdetik pula di hati nak bertanya lebih lanjut. Dia kemudian datang menghampiri kaunter sambil melemparkan sebuah senyuman, persis senyuman emak aku. Aku membalasnya dgn reaksi mata bertanya, "Boleh saya bantu, makcik?" (reaksi mata sahaja) kerana tiba-tiba lidah aku kelu untuk memulakan berbicara.

"Makcik nak mintak tandatangan untuk anak makcik menarik diri dari belajar.", kata makcik itu sambil mengunjurkan sehelai kertas yang biasa aku lihat. Ya, borang untuk menarik diri/berhenti dari sesi pengajian. Aku meneliti borang itu dan meminta makcik itu untuk mendapatkan tempat duduk di hadapan kaunter sementara aku menyiapkan tugas seperti yang biasa dilakukan.

Aku meneliti borang itu sambil tanganku menaip beberapa maklumat penting mengenai pelajar yang ingin menarik diri tersebut.


Sila tandakan ( X ) sebab untuk menarik diri :
(    ) Tidak minat bidang pengajian
(    ) Bertukar kolej
(    ) Mendapat pekerjaan
( X ) Masalah peribadi
(    )  Lain-lain. Sila nyatakan ______________________________________


Sesekali aku mengerling kelibat makcik yang duduk di hadapan kaunter, fikirannya menerawang jauh sehingga  dia tidak perasan yang aku sedang memerhatikan tingkahnya. Aku kembali menaip sesuatu. Lalu, aku mencapai Buku Rekod Pelajar Menarik Diri.

"Maaf makcik, saya nak minta tandatangan makcik di sini." Sambil menghulurkan sebatang pen kepadanya. "Ok. Itu sahaja, makcik. Terima kasih." Aku memulangkan semula borang yang diserahkan kepada aku sebentar tadi. Makcik itu menyambut sambil menguntumkan sebuah senyuman yang penuh bermakna. Senyuman manis yang melindungi 1001 duka di dalamnya.

12.45 PM
Makcik itu berlalu pergi setelah membalas terima kasih aku dengan 1001 pertanyaan. Selalunya, dengan girang hati seseorang pelajar menarik diri atas sebab ( X ) Bertukar Kolej. Dan, kebiasaanya mereka akan datang sendiri untuk menguruskan hal menarik diri dari sesi pengajian. Pasti aku bertanya, "Dapat sambung belajar kat mana, dik?" Dengan girang mereka menjawab "University of Manchester, under KPM. Bulan depan kena pergi Biro Tatanegara. Then, the next month terus fly ke sana, InsyaAllah. Belajar 3 tahun kat sana", panjang sekali jawapan yang diberikan sebelum soalan lanjut diajukan. Mereka menguntum senyum yang meluahkan 1001 bahagia. Rasanya kalau mereka duduk lebih lama lagi di hadapan kaunter perpustakaan ini, pasti mereka akan bercerita tentang keterujaan yang dialami dengan lebih mendalam. Ya, aku tahu perasaan itu walaupun tidak pernah mengalaminya.

Tapi, makcik itu benar-benar membuat aku rasa sebu. Perasaan sebu kerana aku tidak sempat bertanyakan itu ini. Tapi, rasanya kami tidak digalakkan untuk bertanya tentang masalah peribadi seseorang, walaupun sekadar untuk berbasa-basi. Cukuplah sekadar menyenangkan makcik itu dengan memudahkan segala urusan, dari bertanya itu ini, kelak akan menambahkan lagi 'masalah peribadi' makcik itu.

Tapi...
Kenapa makcik itu datang bersendirian menguruskan hal anaknya? Jikalau anaknya sakit sekalipun, pihak universiti faham akan masalah yang dihadapi. Mereka akan membenarkan pelajar berkenaan menangguhkan semester dari menamatkan terus sesi pengajian.
Kenapa makcik itu merenung jauh seperti memikirkan sesuatu yang tidak terjangkau dek akal dan imaginasi aku?
Kenapa kenapa kenapa?


12.59 PM
Aku disapa dari hadapan kaunter oleh rakan sekerjaku, "Jauh termenung!" Bergegar dunia aku sekejap.
Aku membalas kata-kata itu dengan senyuman, senyuman yang cuba merungkaikan 1001 persoalan.
"Nak pergi makan tak?" Tanya rakanku lagi.
Aku melihat jam di tangan. Dah waktu rehat nampaknya. Lama juga aku mentafsir itu dan ini sehingga hilang dalam dunia aku sendiri.
"Cepatlah, nanti lauk habis. Lapar ni!" Sedikit pekik rakanku di dalam perpustakaan yang serba sunyi ini, apabila aku hanya membatukan diri merenung jam di tangan. Mungkin dia lapar sangat barangkali, tambahan pula melihat responku yang seperti acuh tidak acuh.
Aku bangkit meninggalkan kaunter perpustakaan dengan harapan agar segala persoalan yang bermain di benak akan menemui jawapannya kelak.




note : boleh anda dengar saya batuk dari jauh?

1 ulasan:

  1. masalah yang mungkin tak dapat dirungkaikan dgn kata2

    BalasPadam